Saturday, 7 November 2026

Kembali kepada Fitrah: Antara Kehilangan, Kesedaran dan Penyerahan



Adakalanya Tuhan sengaja mengizinkan kita tersesat dan kehilangan arah. Bukan kerana Dia mahu kita terus berada dalam kesengsaraan, tetapi mungkin kerana melalui pengalaman itulah kita mula memahami betapa lemahnya diri apabila terpisah daripada petunjuk-Nya.

Dalam keadaan terhimpit, ketika segala jalan seolah-olah tertutup, kita mula mencari jalan keluar. Pada saat itulah kita akhirnya menyedari bahawa segala kekuatan, kebijaksanaan dan kemampuan yang selama ini kita banggakan sebenarnya amat terbatas. Kita tidak memiliki daya yang mutlak, melainkan dengan pertolongan daripada suatu kuasa yang jauh lebih tinggi, yakni Tuhan, Pencipta kita sendiri.

Mungkin inilah proses humbling, saat keangkuhan diri perlahan-lahan diruntuhkan, sehingga akhirnya membawa kita kepada submission, yakni penyerahan diri yang sebenar-benarnya kepada Tuhan.

Namun, proses ini tidak berlaku dengan sendirinya. Ia menuntut seseorang untuk berhenti sejenak, memaksa dirinya berfikir, merenung dan bertafakur tentang hakikat kehidupan. Barangkali ada waktunya kita perlu beruzlah, menjauh sebentar daripada kebisingan dunia, bukan untuk melarikan diri daripada kehidupan, tetapi untuk kembali mengenali siapa sebenarnya diri kita.

Kerana mungkin, dalam keheningan itulah hati mula terbuka kepada kebenaran.
Barangkali inilah antara ujian terbesar setiap insan yang bernama manusia. Bukan semata-mata tentang sejauh mana kita mampu mengharungi kehidupan, tetapi sejauh mana kita sanggup berdiam sejenak, mendengar suara hati yang paling halus, dan mengenali kembali fitrah yang selama ini tertimbus di sebalik keinginan, keangkuhan dan kesibukan dunia.

Sesungguhnya, sepanjang kehidupan ini, manusia seolah-olah berada dalam suatu pergelutan yang tidak pernah berakhir. Seperti permainan tarik tali antara dua kekuatan yang saling bertentangan. Pada satu sisi, terdapat fitrah yang sentiasa merindukan Tuhan, mengajak kita kembali kepada asal kejadian dan tujuan kewujudan. Pada sisi yang lain pula, terdapat hawa nafsu dan tarikan dunia yang tidak pernah berhenti mengajak kita menjauh daripada fitrah tersebut.Dan di tengah-tengah pergelutan itulah terletaknya pilihan seorang manusia.

Mungkin juga, segala perjuangan batin inilah yang kelak akan diperhitungkan pada hari kita dihimpunkan di Mahsyar. Pada mizan keadilan-Nya, mungkin bukan sekadar sejauh mana kita pernah tersasar yang menjadi persoalan, tetapi juga sejauh mana kita telah berusaha menarik kembali tali kehidupan ke arah kebenaran, setiap kali ia ditarik menjauh oleh hawa nafsu dan kelemahan diri.Kerana sebagai manusia, kita tidak pernah benar-benar terlepas daripada kesilapan dan dosa. Kita sentiasa memiliki kelemahan, kecenderungan untuk tersasar, dan keterbatasan dalam melawan kehendak diri.
Dalam tradisi Kristian, terdapat konsep original sin atau dosa asal. Namun, dari sudut pandang Islam, kelemahan manusia tidak semestinya bermaksud kita mewarisi dosa sejak kelahiran. Sebaliknya, manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah, tetapi tetap memiliki kebebasan memilih, bersama segala kelemahan dan kecenderungan yang mengiringi kehidupan duniawi.

Barangkali kelemahan itu sendiri mempunyai hikmahnya.Mungkin Tuhan membenarkan kita merasakan kejatuhan, penyesalan dan rasa berdosa supaya kita tidak pernah lupa akan hakikat diri sebagai hamba. Supaya kita belajar merendahkan hati, mengakui keterbatasan, dan akhirnya kembali memohon keampunan serta rahmat-Nya. Kerana tanpa kesedaran tentang kelemahan, bagaimana mungkin seseorang benar-benar memahami makna kerendahan hati? Dan tanpa pernah merasakan kehilangan arah, bagaimana mungkin seseorang benar-benar menghargai petunjuk?

Maka, persoalan yang paling penting barangkali bukanlah sama ada kita pernah tersesat, berdosa atau gagal mempertahankan fitrah.
Tetapi, apakah yang kita pilih untuk lakukan setelah menyedari bahawa kita telah tersasar?
Adakah kita memilih untuk berputus asa, terus hanyut dan menyerah kepada kelemahan diri? Atau adakah kita sanggup merendahkan keangkuhan, mengakui kesilapan, memohon keampunan dan kembali mencari Tuhan yang selama ini tidak pernah berhenti membuka ruang untuk kita kembali kepada-Nya?

Hakikat perjalanan hidup manusia bukanlah tentang menjadi insan yang tidak pernah tersesat dan berdosa. Tetapi tentang seorang hamba yang, betapa jauh sekalipun pernah tersasar, tetap berusaha mencari jalan pulang kepada Tuhannya.

No comments:

Post a Comment